Rifqi menghantar setiap langkah Indah Zuryna yang
meninggalkannya dengan pandangan sayu. Kemesraan dan kelembutan Indah Zuryna
melayan setiap bicara Shazran membuatkan hatinya dipagut rasa cemburu. Dia juga
menginginkan layanan sebegitu daripada Indah Zuryna. Dia juga mahu menikmati
belaian wanita itu. Tidak! Getus Rifqi. Dia seharusnya bersyukur kerana dapat
memiliki Indah Zuryna. Dia tidak boleh meminta lebih daripada apa yang telah
dimiliki. Rifqi sedar dia perlu memijak pada bumi yang nyata. Berhenti daripada
bermimpi!
Shazran yang sedang
memandu mengerling sekilas pada Indah Zuryna di sisinya. Dia dapat mengesan
riak wajah Indah Zuryna yang terbias daripada cahaya lampu neon di jalanraya.
Seolah-olah ada sesuatu yang membebani fikiran Indah Zuryna.
“Apa yang you
fikir?”Tanya Shazran.
Indah Zuryna membisu,
membiarkan pertanyaan Shazran tanpa balasan. Raut wajah tenang milik Rifqi yang
sedang bermain-main di mindanya. Rifqi…nama itu bergema di dalam ruang hatiya.
Hatinya berkecamuk memikirkan lelaki itu. Lelaki yang bergelar suami namun
baginya Rifqi bukanlah suami dalam erti kata yang sebenar. Indah Zuryna tidak
dapat menerima perkahwinan yang terjalin atas dasar persahabatan di antara dua
keluarga dipersetujui lelaki itu.
Rifqi tahu tentang
semuanya. Rifqi tahu hatinya hanya ada Shazran. Tapi kenapa lelaki itu harus
bersetuju? Argh! Indah Zuryna berserabut. Dia juga tidak betah membantah
kehendak papanya. Selama ini pun tiada siapa yang berani mempersoalkan
keputusan papa. Putih kata papa maka putihlah bagi semua orang. Indah Zuryna
jadi geram. Dia tiada kebebasan menentukan Jalan hidupnya sendiri. Apa yang
membuatkan Indah Zuryna marah adalah sikap Rifqi sendiri. Di sebabkan itulah
Indah Zuryna melayan lelaki itu acuh tidak acuh. Tiada rasa hormat apatah lagi
cinta.
Persahabatan yang
terjalin di antara mereka selama sepuluh tahun juga seolah-olah telah hilang
begitu sahaja. Mereka berdua menjadi orang asing di dalam rumah. Hanya perlu
berpura-pura mesra di hadapan kelaurga mereka sahaja. Rifqi pula melayan setiap
kerenahnya dengan sabar. Dari dahulu pun lelaki itu memang penyabar maka Indah
Zuryna sengaja cuba menguji. Rifqi tidak pernah melatah dengan setiap
provokasinya menjadikan diri Indah Zuryna penuh dengan rasa benci terhadap
lelaki itu.
“Kenapa ni Ryn?”
Indah Zuryna menoleh
ke arah Shazran yang sedang memandu. “Kenapa apa?”
Shazran mengeluh.
“Apa yang you fikir? Sampai you tak pedulikan I kat sebelah ni?”
Indah
Zuryna tersenyum tawar. “Nothing…”
“You rasa
bersalah?”duga Shazran. Indah Zuryna tersentak. Wajah keruh Shazran dipandang.
Indah Zuryna tidak tahu harus menjawab bagaimana. Apa yang menjadi persoalan
adalah kenapa Shazran bertanya sebegitu. Untuk apa dia merasa bersalah? Pada
siapa?
“Dari tadi you
termenung. You rasa bersalah ke keluar dengan i?”sambung Shazran seolah-olah
dapat membaca isihati Indah Zuryna.
Kening Indah Zuryna bertaut. Masih tidak mengerti
maksud Shazran yang sebenarnya. “Untuk apa?”
“Mana tau you rasa
you dah curang dengan suami you…”luah Shazran perlahan namun cukup kuat untuk
didengari oleh Indah Zuryna. Matanya tajam memandang Shazran yang bersahaja.
Apakah lelaki itu juga cuba untuk menguji kesabarannya?
“Apa yang you cakap
ni? Kenapa perlu you cakap macam tu? You tak yakin dengan I ke Shaz? Atau you
dah tak yakin dengan perhubungan kita?”soal Indah Zuryna dengan rasa marah.
Shazran sekadar
menjungkit bahu mengundang kemarahan Indah Zuryna. Entah kenapa sejak
perkahwinannya dengan Rifqi tiga bulan lalu, Shazran seolah-olah mengesyaki
dirinya. Sering sahaja dirinya dipersoalkan samada dia dengan Rifqi bahagia
atau tidak. Kenapa perlu Shazran mencurigai cintanya? Sebelum berkahwin pun
sudah dikatakan hanya Shazran di dalam hatinya. Lelaki itu hanya perlu menunggu
setahun sahaja untuk hidup bersama. Perjanjian di antaranya dengan Rifqi adalah
melayari kehidupan berumahtangga selama setahun kemudian berpisah membawa
haluan masing-masing.
Shazran adalah lelaki
yang dicintainya selama lima tahun sejak di university lagi. Rifqi juga tahu
malah Rifqi sendiri memberi jaminan selepas setahun dia sudi melepaskan Indah
Zuryna untuk mengejar kebahagiannya sendiri. Kepada Shazran juga Rifqi berjanji
akan menjaga kesucian Indah Zuryna. Dia sendiri akan menyerahkan Indah Zuryna
kepadanya apabila tiba masanya nanti.
“I cuma takut you
berubah. Rifqi tu apa kurangnya Ryn? You pun dah lama kenal dia. Dah tahu budi
pekerti dia. Takkan selama hidup bersama you tak pernah suka dia? Apatah lagi
you dengan dia saja kat rumah tu…”
“Shazran!”
Shazran tersentak
mendengar namanya dijerit kuat. Melihat kemarahan Indah Zuryna yang seolah-olah
sukar untuk dibendung, Shazran memberhentikan keretanya di tepi Jalan. Dipandang
wajah Indah Zuryna.
“Salah ke kalau I
berfikiran macam tu? Salah ke kalau I kata I cemburu bila memikirkan yang you
berdua-duaan dengan dia? Salah ke kalau I marah melihat perempuan yang I suka,
yang I cinta berkahwin dengan lelaki lain? Salah ke?”bentak Shazran.
Indah Zuryna merengus
kasar. “That’s your problem Shazran!
Benda dah jadi. Bukan I tak pernah suruh you jumpa family I tapi you yang
banyak alasan. Sekarang ni nak tak nak you kena tunggu! You yang kena ajar diri
you bersabar. I fed-up macam ni. Kat
rumah I tension sekarang you pun nak
tambahkan masalah I lagi?”
Shazran mengeluh
perlahan. Tangannya mencapai tangan Indah Zuryna dan dielus lembut. Cuba
menenangkan amarah Indah Zuryna. Indah Zuryna sekadar membiarkan sahaja
perbuatan Shazran. Shazran merenung wajah ayu Indah Zuryna. Matanya terarah
pada kening lebat milik Indah Zuryna. Kemudian pada mata bundar wanita itu dan
berkalih pada bibir Indah Zuryna yang merah disapu nipis secalit gincu. Lama
matanya terhenti di situ. Tiba-tiba timbul keinginan untuk mencium Indah
Zuryna. Shazran tahu Indah Zuryna pastinya menolak. Indah Zuryna bukan perempuan
murahan, bukan seorang yang mudah menyerah pada lelaki demi cinta.
No comments:
Post a Comment